Tumpuan :
Nasional

Polis tahan lelaki tumbuk, pukul pekerja kedai makan dengan penutup tong sampah

Tangkap layar video tular memaparkan lelaki memukul dan menumbuk pekerja kedai makan. – Foto tular

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki ditahan polis selepas menumbuk dan memukul kepala pekerja sebuah kedai makan menggunakan penutup tong sampah dalam insiden di Machang Bubok di sini, yang tular di media sosial.

Lelaki itu ditahan selepas polis mengesan video berdurasi satu minit dan 36 saat yang dimuat naik di Facebook (FB), memaparkan individu dipukul di kedai makan berkenaan, kelmarin kira-kira jam 2.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, suspek didapati menumbuk muka dan memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan tangkapan terhadap suspek dilakukan, dia kini direman hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian berpunca daripada perselisihan faham peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman seperti yang didakwa.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini