NIBONG TEBAL: Polis Pulau Pinang mengesahkan telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap malam semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini.
“Lelaki itu kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut kes tersebut dan polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terperinci serta telus,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Difahamkan dakwaan gangguan seksual tersebut berlaku di Dewan Khairat Sungai Kecil malam tadi, ketika wartawan wanita itu sedang membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden Umno.
Insiden gangguan seksual itu didakwa telah dilihat beberapa pengamal media lain, sebelum lelaki yang mendakwa dirinya petugas sebuah parti politik itu ditahan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi jaminan akan menyiasat dakwaan gangguan seksual terhadap wartawan wanita itu.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, perkara itu akan diteliti pihaknya, sebaik sahaja mendapat perkembangan berita itu.
“Belum sampai lagi berita itu kepada saya, mungkin sebab saya sibuk kempen. Kalau laporan sudah dibuat, saya nak beri jaminan ia sepenuhnya di bawah bidang kuasa pasukan polis.
“Gunalah peruntukan undang-undang yang ada, buatlah siasatan secara profesional serta ikut jalur undang-undang,” katanya pada sidang media PH di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa