KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki selepas membaling batu ke arah cermin Honda City di tepi Jalan Sri Petaling, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pemilik kereta iaitu lelaki berusia 68 tahun meletakkan kenderaannya jam 2 petang untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, pada jam 5 petang, dia mendapati seluruh cermin keretanya dipecahkan.
“Saksi awam di tempat kejadian melihat suspek membaling batu ke arah cermin kereta dan melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan dan menangkap suspek di sekitar kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ku Mashariman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 3 Disember ini.
“Polis memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.