Oleh Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes dera ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun di Kampung Sinaran Baru, Kempas dekat sini, semalam.
Suspek, 29, yang juga teman lelaki ibu mangsa ditahan jam 11.05 malam oleh sepasukan polis ibu pejabat polis daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pihaknya jam 10.39 pagi hari yang sama.
“Suspek akan direman di mahkamah Johor Bahru pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.