Tumpuan :
Nasional

Polis tahan bapa culik, rogol anak tiri

Suspek warga asing ditahan kerana disyaki menculik dan merogol anak tirinya, pada Ogos tahun lalu. FOTO NSTP / IHSAN PDRM.

KALABAKAN: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki menculik dan merogol anak tirinya yang berusia sembilan tahun, Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 32 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat ibu mangsa (pengadu) kira-kira jam 10.15 pagi di Balai Polis Kalabakan, semalam.

Menurutnya, pengadu memberitahu bahawa anak perempuannya diculik oleh suspek yang juga bekas suaminya dari rumah mereka di sebuah perumahan pekerja ladang dekat Kalabakan, Ogos tahun lalu.

“Bagaimanapun pengadu tidak melaporkan kejadian culik itu kerana telah diugut oleh suspek yang akan bertindak membunuh kanak-kanak itu sekiranya dia membuat laporan polis.

“Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian dia dirogol suspek selepas dihantar pulang ke rumah mereka kira-kira jam 7 malam, Isnin lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata suspek akhirnya berjaya ditangkap sepasukan anggota polis di sebuah ladang berhampiran kira-kira jam 6 petang, hari yang sama.

“Suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini