KUALA LUMPUR: Lapan termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya empat kes pecah pejabat dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, semua suspek berusia antara 17 hingga 41 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan bermula 17 Disember lalu hingga semalam.
Katanya, penahanan dilakukan di sekitar Lembah Klang bersama rampasan pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, topi keledar, mesin pelbagai jenama, mata wang asing dan sebuah motosikal.
“Kes terbaharu kumpulan ini dilaporkan di Kampung Baru Ampang pada 14 Disember lalu membabitkan kerugian dianggarkan RM150,000.
“Kejadian disedari kira-kira jam 7.30 pagi oleh seorang pekerja dengan wang tunai RM90,000 dan pelbagai barangan antaranya komputer riba, telefon bimbit, kamera, topi kaledar serta pelbagai mata wang asing didapati hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Azam berkata semakan mendapati tujuh suspek itu mempunyai antara dua hingga 24 rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah termasuk rekod ‘masih dikehendaki’, manakala seorang lagi suspek tiada rekod lampau.
Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah melakukan perbuatan jenayah terbabit pada waktu awal pagi dan menyasarkan premis serta kenderaan yang diletakkan di luar kawasan rumah.
“Siasatan mendapati kumpulan ini terbabit dengan empat kes jenayah pecah pejabat, curi dan curi motokar di kawasan Lembah Klang dan dikesan aktif sejak kira-kira tiga bulan lalu,” katanya.
Mohd Azam berkata lima suspek dibebaskan selepas siasatan selesai manakala baki tiga lagi suspek direman bermula semalam hingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.