PADANG BESAR: Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar lima lelaki warga Kemboja ke Thailand, Isnin lalu selepas menahan dua wanita yang bertindak sebagai tekong darat untuk menguruskan perjalanan migran berkenaan.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, polis dari Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser berwarna hitam yang berlegar di kawasan Gapura Square, Padang Besar.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pemeriksaan pada kenderaan berkenaan mendapati kenderaan MPV berkenaan dipandu oleh seorang wanita warga Kemboja berusia 43 tahun.
“Kita mendapati terdapat lima lelaki warganegara asing yang berusia 18 hingga 44 tahun berada dalam MPV berkenaan dan apabila disiasat, kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan menuju ke Thailand.
“Siasatan awal kita mendapati pemandu MPV itu adalah seorang pemastautin tetap di negara ini serta bertindak selaku ‘transporter’ bagi migran berkenaan dan daripada lima lelaki yang ditahan itu hanya empat sahaja mempunyai pasport yang sudah tamat tempoh manakala seorang lagi pula tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di IPD Padang Besar, hari ini.
Katanya, susulan daripada tangkapan berkenaan, pihaknya berjaya menahan seorang wanita warga Kemboja berusia 34 tahun di Kedah yang dipercayai menjadi dalang utama dalam menguruskan penyeludupan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin di negara ini.
“Berhubung dengan tangkapan suspek pemandu wanita warga asing yang memandu MPV berkenaan, kita dapati suspek berkenaan juga menetap di negeri yang sama seperti suspek dalang utama dan sudah berkahwin dengan warga tempatan.
“Suspek juga bekerja sebagai penjual sayur selain mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan pemerdagangan manusia dan jenayah lain manakala suspek dalang utama sudah empat tahun tinggal di negara ini selain berkahwin dengan seorang warga asing.
Beliau berkata, sindiket berkenaan sudah hampir dua tahun aktif yang ditunjangi oleh warga Kemboja.
“Selain MPV Toyota Unser berkenaan, kita turut berjaya merampas tiga buah jenis telefon bimbit pelbagai jenis, pelbagai matawang termasuk wang tunai berjumlah RM4,272, Thai Baht (3,200) dan Riel Kemboja (920).
Mohd Shokri berkata, sindiket berkenaan dibayar RM400 bagi satu perjalanan dan RM900 bagi setiap warga asing yang dibawa itu.
“Kedua-dua wanita warga asing yang bertindak selaku pemandu dan tekong itu direman selama 28 hari bermula 7 Januari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Manakala lima migran yang ditahan itu pula direman 14 hari juga bermula 7 Januari lalu mengikut Akta Imigresen,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.