KUALA LUMPUR: 16 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam kegiatan pusat panggilan penipuan ditahan dalam satu serbuan di Jalan Klang Lama, di sini, pada 13 Januari lalu.
Semua suspek termasuk termasuk empat wanita berusia antara 23 hingga 42 tahun ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, hasil serbuan ke atas sebuah premis pejabat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan itu dijalankan hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
“Hasil serbuan pihak polis merampas 36 unit telefon bimbit, (5) iPad, (9) unit komputer riba, (4) keping waran Polis Singapura, (7) set pelbagai dokumen, (13) kotak yang diubah suai untuk kegiatan penipuan panggilan, (10) unit kenderaan.
“Turut dirampas dua anak kunci pejabat dan masing-masing satu buku catatan, modem dan pendrive serta wang tunai RM7,800.
“Siasatan juga mendapati sindiket ini beroperasi sejak empat bulan lalu dan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Singapura,” katanya dihubungi BH hari ini.
Ramli berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah mangsa yang telah diperdaya serta jumlah kerugian yang berkaitan dengan kegiatan penipuan ini.
“Berdasarkan siasatan, sindiket ini melakukan penipuan dengan cara menyamar sebagai pegawai bank Singapura dan menghubungi mangsa.
“Seterusnya, mereka akan meminta pengesahan berkenaan kad kredit yang telah didaftarkan atas nama mangsa atau memaklumkan terdapat aktiviti mencurigakan dikesan membabitkan akaun bank atas nama mangsa.
“Mangsa yang menafikan perkara tersebut kemudian akan disambungkan kepada ahli sindiket yang menyamar pegawai polis. Seterusnya mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan sehinggalah akhirnya membuat pindahan wang ke akaun bank yang ditentukan,” katanya.
Semua 16 suspek terbabit telah dituduh di bawah Seksyen 120 (B) Kanun Keseksaan di Mahkamah Jalan Duta pada 16 Januari lalu.
Beliau berkata, kerjasama antara PDRM dan SPF bukan hanya tertumpu kepada operasi ini malah telah berlaku secara berterusan bagi memastikan isu-isu jenayah membabitkan dua negara ini atau jenayah rentas sempadan ditangani dengan lebih berkesan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.