KUALA LUMPUR: Beberapa video memaparkan seorang wanita yang didakwa diculik dua lelaki di hadapan pintu masuk sebuah kondominium di Jalan Zamrud Utama, Kajang di sini, semalam adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya mendapati satu video tular di aplikasi TikTok mengenai satu kejadian memaparkan dakwaan penculikan berlaku di Jalan Zamrud Utama.
“Hasil semakan mendapati sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kejadian itu.
“Maklumat juga mendapati ada saksi yang melihat kejadian ini dan mengatakan mendengar salah seorang daripada pasangan terbabit menyatakan supaya orang ramai tidak mencampuri urusan mereka suami isteri dan kemudian beredar,” katanya.
Naazron berkata, walaubagaimanapun, tindakan awal dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan dan pasangan itu serta siasatan lanjut mengenai kejadian ini masih dalam siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, pihak polis menolak dakwaan di media sosial bahawa ia kejadian penculikan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan,” katanya.
Menerusi video berdurasi 1.34 saat itu, seorang wanita dilihat sedang bertengkar dan ditarik seorang lelaki yang tidak diketahui statusnya sambil ditenteramkan oleh orang ramai, termasuk seorang pengawal keselamatan kondominium sambil orang awam yang melalui kawasan itu membunyikan hon kenderaan.
Tidak lama selepas itu, wanita terbabit ditarik masuk ke dalam kereta oleh lelaki berkenaan sebelum kenderaan itu meninggalkan lokasi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.