comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis siasat video tular kanak-kanak diganggu lelaki tempatan di kawasan masjid

Foto tular

PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat kejadian kanak-kanak diganggu lelaki tempatan di kawasan masjid di SS15, Subang Jaya pada 10 September lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pihaknya telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2021, iaitu amang seksual terhadap kanak-kanak.

Ia juga disiasat bersama Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu perkataan jelik dan mengelirukan di media sosial.

Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun telah diganggu oleh lelaki tempatan yang tidak dikenali, dengan dakwaan kenyataan mangsa cuba diculik.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya.

Ujar Asisten Komisioner Wan Azlan dalam satu kenyataan media, mangsa telah memberitahu kejadian tersebut kepada pengadu iaitu wanita tempatan bahawa suspek telah memegang bahu mangsa ketika berada di kawasan masjid dan menanyakan nama dan alamat rumah, namun mangsa terus melarikan diri ke dalam sekolah.

“Pada 11 September 2024 pengadu telah terima satu video dan gambar daripada ibu kenalan mangsa yang menunjukkan rakaman CCTV kejadian mangsa telah dipegang bahu oleh suspek.

“Video itu telah tular di dalam laman sosial Facebook yang menunjukkan gambar dan dakwaan kenyataan mangsa cuba diculik,”katanya.

Tambahnya, pihak polis terus komited memerangi jenayah dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada memuat naik sebarang kenyataan media di laman sosial yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

Pihak polis juga katanya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Shabilah Zulkifle@Awang di talian 010-2667017 atau balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini