Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Polis telah mengesan satu rakaman video tular memaparkan seorang kanak-kanak, empat tahun didera seorang penjaga di sebuah tadika di Luyang di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata hasil siasatan awal mendapati ibu bapa kanak-kanak terbabit telah diberitahu anaknya yang juga mangsa telah dikasari penjaga tadika itu.
Artikel berkaitan : [VIDEO] Bapa tidak sanggup tengok video anak didera
“Ibu bapa kepada kanak-kanak (mangsa) tersebut telah dimaklumkan oleh anaknya bahawa beliau telah dikasari oleh penjaganya sehingga mendapat kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.”
“Ibu bapa mangsa telah pergi ke tadika tersebut dan telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati mangsa telah dikasari oleh salah seorang penjaga di tadika berkenaan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Penampang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya, setakat ini polis telah menerima tiga laporan iaitu daripada ibu mangsa berhubung kes itu.
Manakala dua lagi laporan berasingan membabitkan pengusaha dan pengasuh tadika yang juga suspek, 27 tahun kerana mendakwa telah dikasari bapa mangsa, 36 tahun di tadika terbabit.
“Dua kertas siasatan telah dibuka iaitu di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.”
“Dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Terdahulu tular satu video CCTV memaparkan seorang kanak-kanak didera di sebuah taska dipercayai di satu kawasan di Kota Kinabalu.
@buletintv3 Ditendang, ditampar, rambut ditarik. Itu perlakuan kejam seorang pengasuh wanita terhadap seorang kanak-kanak di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang di Kota Kinabalu. #beritatiktok #buletintv3 #tular
Video berdurasi dua minit 12 saat itu memaparkan sekumpulan kanak-kanak berada di sebuah taska bersama dua individu dewasa.
Salah seorang individu terbabit dilihat sedang mengagihkan makanan namun bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala seorang kanak-kanak dengan menggunakan satu objek dari taska berkenaan.
Rakaman CCTV itu kemudian dipercayai ditonton oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan menyebabkan kedua-duanya berang dengan perbuatan individu terbabit.
Ibu kanak-kanak berkenaan dipercayai merakam video berkenaan untuk dijadikan bukti dalam laporan polis mereka.