
BENTONG: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu memandu secara berbahaya di Jalan Genting Highlands, di sini, seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya terkesan rakaman video berkenaan yang dikongsi orang awam melalui mesej peribadi di Facebook Polis Bentong.
“Hasil siasatan, klip video berkenaan dimuat naik di laman sosial.
“Terdapat beberapa rakaman memaparkan aktiviti dipercayai dilakukan sekumpulan pemilik kenderaan yang memandu secara berbahaya di selekoh Jalan Genting Highlands sehingga menimbulkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Zaiham berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya kepada orang awam.
Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan polis.
Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas dan menjalankan operasi bersepadu sekitar lokasi berkenaan khusus pada hujung minggu dan cuti umum yang dipercayai menjadi tumpuan pemilik kenderaan melakukan aktiviti mengganggu ketenteraman pengguna lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.