Tumpuan :
Nasional

Polis siasat sekolah usang diceroboh warga asing

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perbuatan sekumpulan warga asing yang menceroboh bangunan sekolah usang di Taman Desa, di sini dan menjadikannya tempat tinggal.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan dijalankan susulan laporan polis dibuat oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Bangsar/Pudu, hari ini.

“Pengadu berusia 43 tahun tampil membuat laporan polis kira-kira jam 10.34 pagi tadi selepas terbaca satu artikel diterbitkan pada 9 Disember lalu oleh sebuah akhbar tempatan berkaitan pencerobohan itu.

“Artikel bersama beberapa gambar itu menunjukkan beberapa individu, dipercayai warga negara asing menetap di tapak lama bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Perdana, Taman Desa.

“Bangunan sekolah itu terbiar kosong sejak 2005 akibat mendapan tanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya, polis ke lokasi berkenaan dan mendapati pagar bahagian belakang sekolah itu sudah runtuh.

Terdahulu, BH melaporkan, kira-kira 50 pekerja binaan warga asing dan tempatan terpaksa menetap di bangunan lama SK Danau Perdana, dipercayai akibat kegagalan majikan menyediakan asrama untuk mereka.

Amihizam berkata, siasatan mendapati, seramai 50 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran kawasan itu menjadikan bangunan sekolah terbiar itu sebagai tempat tinggal.

Beliau berkata, pegawai penyiasat kes sudah berhubung serta menasihati wakil pengurusan tapak pembinaan itu untuk melarang pekerjanya menghuni bangunan sekolah terbabit.

“Polis akan menjalankan rondaan dari semasa ke semasa bagi mengelak perkara itu daripada berulang,” katanya sambil menasihati orang ramai, termasuk warga negara asing untuk mematuhi undang-undang di negara ini.

Katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perkara itu kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Loading...
Terkini