Tumpuan :
Nasional

Polis siasat punca kematian pegawai tribunal kastam – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.- Foto fail 

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca seorang pegawai ditemui meninggal dunia di bangunan Kementerian Kewangan (MoF) pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata terlalu awal untuk mengulas mengenai kejadian itu ketika ini.

“Pihak polis akan mengambil alih siasatan bagi mengenal pasti punca kematian dan menjalankan siasatan yang menyeluruh.

“Ini bermaksud, pada peringkat ini, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang komen. Memadai untuk kita menyerahkan kepada pasukan polis bagi memulakan siasatan terhadap insiden ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Kementerian di Kompleks Setia Perkasa, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin turut mengulas insiden penyampai radio yang didakwa mempersendakan agama lain dan menjelaskan bahawa pihak polis sedang menyiasat perkara itu mengikut proses perundangan.

“Jika ada aduan atau laporan polis dibuat, ia menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada ada asas untuk pendakwaan. Itu adalah proses undang-undang.

“Permohonan maaf adalah sesuatu yang baik kerana ia menunjukkan individu tersebut menyedari bahawa ungkapan atau perbuatan yang dilakukan tidak sepatutnya berlaku,” tambahnya.

Beliau berkata bahawa dalam konteks hubungan kaum serta kepelbagaian agama dan budaya di negara ini, insiden seperti itu seharusnya menjadi pengajaran untuk sentiasa berhati-hati.

Justeru, beliau berharap masyarakat terus memahami budaya dan sensitiviti agama agar dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini