MUAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung satu perarakan seni kebudayaan sempena ulang tahun ke-20 Gabungan Persatuan-persatuan Tiong Hua di sini, petang semalam, yang didakwa mempamerkan bendera negara China.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, program tersebut berlangsung semalam, sekitar jam 6.10 petang.
Menurutnya, perarakan itu turut mempamerkan replika naga terpanjang yang diarak melalui beberapa jalan utama sekitar Bandar Diraja Muar.
“Hasil pemantauan polis mendapati replika naga tersebut dihias dengan bendera Jalur Gemilang di sebelah kanan, manakala bahagian kiri dihiasi bendera negara China.
“Rakaman video dan gambar-gambar perarakan itu juga tular di beberapa platform media sosial sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan dan telah memanggil pihak penganjur serta saksi bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 6(2) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda tidak melebihi RM500, atau kedua-duanya.
Sementara itu, polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil dan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9526001.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.