AMPANG: Polis sedang menyiasat motif di sebalik kejadian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera sehingga maut oleh ibu kandungnya dan teman lelaki di Taman Bukit Ampang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, memaklumkan siasatan masih berjalan, termasuk mengenal pasti punca penderaan yang membawa kepada kematian mangsa.
“Kita turut merampas beberapa objek tumpul ketika tangkapan dibuat ke atas suspek.
“Bagaimanapun untuk mengesahkan sebagai senjata digunakan bergantung kepada laporan pakar nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasangan kekasih berkenaan ditahan pada jam 5.17 petang kelmarin di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang.
Menurut Mohd Azam, wanita itu terlebih dahulu menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 2.36 petang kelmarin, melaporkan anaknya tidak sedarkan diri di rumah mereka.
“Mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai didera oleh ibu kandung dan teman lelaki. Mangsa mengalami kecederaan seperti kesan lebam pada muka, leher, tangan dan kaki.
“Mangsa meninggal dunia di rumah dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah pendarahan di dalam kepala,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dibiarkan demam tanpa rawatan sehingga mengalami sawan selain dipukul dengan rotan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.