comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis siasat laporan pengasuh dera bayi 17 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat aduan seorang bapa yang mendakwa anak perempuannya berusia 17 bulan didera seorang pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, aduan diterima daripada seorang lelaki berusia 26 tahun pada jam 7.36 malam Rabu lalu.

Beliau berkata, pengadu yang juga seorang pemandu e-hailing memaklumkan anaknya diperlakukan dengan kasar oleh seorang pengasuh yang mana rambut anaknya ditarik dan hidungnya dipicit ketika disuapkan makanan sehingga cedera.

“Pengadu mendapat tahu mengenai perkara itu daripada seorang pengasuh lain ketika mengambil anaknya dari TASKA berkenaan pada jam 7.30 malam, Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa di hospital, pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan tisu lembut.

“Berikutan itu, pengadu memberhentikan anaknya daripada dihantar ke TASKA terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan lanjut mendapati TASKA itu sudah beroperasi hampir tiga tahun, namun disyaki masih belum mendapat lesen pengoperasian yang sah.

“Pada ketika ini, terdapat sembilan kanak-kanak yang berada dalam jagaan TASKA ini dan terdapat tiga pengasuh merangkap guru di situ.

“Bagi melengkapkan siasatan, pengasuh berkenaan sudah pun dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-9788804 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, ibu mangsa, Heng Lee Shuan, 32, dalam satu sidang media di Pejabat DAPSY Bandar Mahkota Cheras di sini, hari ini berkata, dia mengetahui kejadian selepas menerima beberapa rakaman video dan gambar menerusi aplikasi WhatsApp yang diberikan oleh bekas pekerja TASKA itu pada Selasa lalu.

Dalam rakaman video itu katanya, kelihatan seorang wanita dipercayai pengasuh menyumbat makanan ke dalam mulut anaknya secara paksa menyebabkan kanak-kanak itu menangis.

“Lebih mengejutkan, bekas pekerja itu mendakwa pengasuh terbabit turut menarik rambut anak saya sehingga putus. Dia ada berikan gambar kesan rambut yang putus tapi saya tak pasti itu rambut siapa.

“Dia dakwa kanak-kanak lain turut diperlakukan sedemikian,” katanya.

Katanya, dia menghantar anak tunggalnya itu ke TASKA swasta berkenaan sejak Mac lalu selepas melihat iklan di Facebook yang menawarkan yuran bulanan sebanyak RM1,800.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini