JOHOR BAHRU: Polis menjalankan siasatan berhubung kehilangan sekurang-kurangnya 11 batu nisan dari Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, di sini yang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata laporan dibuat penjaga kubur kawasan itu jam 9.26 pagi tadi.
“Lelaki berusia 62 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Majidee. Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
“Kita juga siasat kes ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, media melaporkan kehilangan 11 batu nisan di pusara yang dipercayai berlaku sejak seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.
Penggali kubur di kawasan tanah perkuburan itu, Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, percaya kecurian batu nisan itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab atau penagih dadah.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan mengambil maklum isu terbabit yang menimbulkan spekulasi dan kerisauan dalam kalangan waris dan masyarakat.
Menurut jabatan itu, tindakan telah diambil bersama polis bagi melaksanakan siasatan dan orang ramai diminta bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi.
JAINJ juga mencadangkan langkah yang wajar yang perlu ditambah baik dan diselenggara oleh pengurusan Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa bagi mencegah aktiviti kecurian daripada berterusan.