KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway, di sini semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita.
“Hasil siasatan awal mendapati, keempat-empat individu itu menghadiri konsert ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway.
“Bedah siasat selesai dijalankan dan punca kematian masih menunggu siasatan makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.