comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis siasat guru lelaki ‘backhand’ murid tahun dua

Foto hiasan

KUALA SELANGOR: Hanya kerana tersalah masuk barisan, seorang murid Tahun Dua ditampar guru lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah ini, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia lapan tahun selesai menjalani latihan rumah sukan dan diminta beratur mengikut kelas masing-masing sebelum pulang ke rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, terdahulu ibu mangsa yang mengambil anak lelakinya kira-kira jam 5.50 petang mendapati ada kesan bengkak pada pipi kanan.

Menurutnya, kanak-kanak itu turut mengadu pipinya sakit.

“Apabila pengadu bertanya kena apa, mangsa memaklumkan ditampar seorang guru lelaki kerana tersalah masuk barisan.

“Pengadu kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik swasta dan doktor memberitahu pipi mangsa sakit disebabkan kesan pukul,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mohd Ambia berkata, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jeram kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati murid Tahun Dua itu tersalah kelas dan ingin masuk semula ke barisan kelasnya.

“Semasa sedang berjalan, guru lelaki terbabit menampar mangsa dengan menggunakan tangan kanan dan menampar secara ‘backhand’ sebanyak satu kali.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dan ulasan doktor terdapat ‘soft tissue injury’,” katanya.

Mohd Ambia berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini