Tumpuan :
Nasional

Polis siasat dakwaan wujud pusat kuarantin GISBH untuk indoktrinasi, dera ahli

PETALING JAYA: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud pusat kuarantin oleh Global Ikhwan Services and Business Holding, (GISBH) di beberapa lokasi di dalam dan luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan menjurus dakwaan bahawa pusat kuarantin itu dikatakan tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli-ahli GISBH yang bermasalah.

Sebelum ini Pusat Kajian Ajaran Sesat, PUKAS mendakwa wujud beberapa pusat kuarantin GISBH yang diwujudkan di beberapa lokasi.

Antaranya di Sepang, Selangor, Baling, Kedah, Keningau, Sabah, Segamat, Johor dan Riau, Indonesia.

Tambah Tan Sri Razarudin, pihaknya juga sedang giat mengesan aset-aset yang dikaitkan atau dimiliki oleh syarikat itu bagi membantu siasatan.

Polis juga telah membuka 10 kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, ATIPSOM 2007.

Ia hasil laporan polis berhubung isu buruh paksa yang diterima daripada beberapa individu yang pernah bekerja dengan GISBH.

Berhubung kenyataan GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan, Tan Sri Razarudin menjelaskan ia merujuk kepada tahun taksiran terkini yang sedang disiasat oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri, LHDN dengan kerjasama PDRM.

Siasatan turut memfokus kepada beberapa syarikat dibawah GISBH yang dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini