PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan anggotanya membuat serbuan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta melakukan pemerasan ketika Ops Tapis, di Damansara di sini, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan dan video tular melalui aplikasi media sosial Facebook (FB) pada jam 1 tengah hari, Selasa.
Beliau berkata, kandungan berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘En Abdul’ memaparkan video serbuan dilakukan oleh empat anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
“Polis mengesahkan serbuan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara.
“Kejadian video tular itu berlaku pada 10 Oktober 2024 ketika melakukan Ops Tapis di kawasan Damansara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan sudah dibuka bagi menyiasat dakwaan yang tular seperti di laman sosial berkenaan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam kejadian terbabit,” katanya.
Semalam, tular kenyataan oleh pemilik akaun FB mendakwa diperas ugut empat anggota polis yang datang ke kediamannya dan bertindak memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) dan melakukan pemerasan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.