Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis siasat dakwaan barang mangsa tragedi Batang Kali dicuri

HULU SELANGOR: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran dalam laman Facebook yang mendakwa individu tidak bertanggungjawab menggunakan barangan milik mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata hantaran tular dalam media sosial itu dipercayai dimuat naik seorang ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata, hantaran itu antara lain mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab dikesan menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa tragedi berkenaan.

Pada jam 2.47 petang tadi, polis menerima dua laporan berhubung isu tular itu.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Suffian berkata, polis meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak gusar berhubung isu tular itu.

Selain itu, beliau berkata, ahli keluarga mangsa juga dinasihatkan menghubungi polis jika mempunyai isu berkaitan kehilangan barang milik mangsa.

“Orang ramai diingat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat dan menularkan berita palsu.

“Mereka hendaklah merujuk polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat tepat. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melalui talian 03-60641223,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada 16 Disember lalu, adalah insiden kedua terbesar membabitkan jumlah mangsa maut selepas kejadian runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi itu membabitkan seramai 92 mangsa dengan 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 lagi terkorban.

Loading...
Terkini