JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan tular melibatkan seorang anggota trafik yang dikatakan meminta dan menerima wang secara tidak sah daripada seorang pemandu di Tambak Johor.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian itu didakwa berlaku pada 16 Januari lalu antara jam 5 hingga 6 petang, kira-kira 500 meter dari Bangunan Sultan Iskandar menuju ke Singapura.
Menurut Raub, ketika kejadian, empat anggota trafik sedang menjalankan operasi penguatkuasaan, termasuk memantau kesalahan lalu lintas seperti tindakan memotong barisan di kawasan tersebut.
“Sebanyak 69 saman atas kesalahan memotong barisan telah dikeluarkan kepada pemandu yang melanggar undang-undang lalu lintas sepanjang operasi tersebut.
“Semua anggota bertugas pada ketika itu telah dirakam keterangan dan mengesahkan mereka menjalankan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kesemua anggota trafik itu juga menafikan sebarang bentuk permintaan atau penerimaan wang daripada mana-mana pemandu seperti yang didakwa dalam gambar yang tular,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tegas Raub, pihaknya sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan tiada unsur salah laku oleh anggota yang bertugas.
Katanya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sedang diteliti, mengenalpasti saksi awam dan individu yang merakam gambar berkenaan sedang giat dijalankan.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang melanggar undang-undang atau mencemarkan nama baik pasukan. Jika terdapat bukti kukuh, tindakan tegas akan diambil.
“Namun sehingga kini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan tersebut.
“PDRM juga memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu atau tidak sahih sehingga boleh mencemarkan reputasi PDRM. Tindakan undang-undang boleh dikenakan berdasarkan peruntukan sedia ada.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau menghubungi ASP Nazrul Idham Abdullah di talian 07-2182222,” katanya.
Sejak semalam, sekeping gambar menjadi tular di laman Facebook “Singaporean’s Guide to JB,” memaparkan dua anggota trafik sedang berjalan ke kereta.
Gambar itu disertakan dengan hantaran keterangan gambar ‘”Donation Drive” now happening on Causeway towards Singapore (from Johor Bahru)’ yang mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.