PETALING JAYA: Kertas Enkuiri Polis (KEP) telah dibuka polis Selangor untuk menyiasat dakwaan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengambil wang milik suspek ditahan berjumlah RM20,000.
Ia susulan lelaki berusia 50-an itu membuat laporan polis di IPD Sepang Ahad lalu mendakwa wang anaknya itu diambil anggota polis yang menahan suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, siasatan dijalankan bersama dengan kes suspek yang didakwa dipukul anggota polis sama ketika dalam tahanan.
“Polis Selangor sudah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk siasatan,” katanya.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan menerima laporan polis daripada seorang lelaki kelmarin yang mendakwa anaknya dipukul oleh anggota polis narkotik IPD Petaling Jaya ketika dalam tahanan.
Untuk rekod, suspek lelaki berusia 20-an itu sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 17 Mei lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.