KUALA LUMPUR: 14 remaja termasuk pelajar sekolah antara 61 individu yang ditahan dalam serbuan dipercayai lokasi berlangsungnya upacara angkat sumpah kumpulan kongsi gelap di Salak Selatan, Sungai Besi, di sini, hari ini.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, jam 11 pagi tadi, berdasarkan maklumat dan risikan ke atas sebuah premis rumah kedai di Salak Selatan Baru, di sini.
Ketika serbuan dibuat, seramai 61 individu berada dalam premis dipercayai sedang bersiap sedia untuk merekrut ahli baru terdiri daripada 14 remaja bawah umur dan pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 17 tahun untuk menyertai sebuah pertubuhan yang disyaki mempunyai kaitan dengan Kumpulan Kongsi Gelap 360.
Pemeriksaan mendapati ada antara remaja terbabit tidak bersekolah dan yang masih bersekolah dipercayai datang untuk direkrut oleh ahli senior.
Modus aktiviti pertubuhan ini adalah mengaburi aktiviti kongsi gelap mereka dengan menamakan satu pertubuhan kemakmuran yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Tinjauan BH mendapati antara kesalahan yang dikenalpasti adalah merekrut remaja bawah umur, ada unsur gengsterisme serta memiliki peralatan angkat sumpah.
Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan serbuan berkenaan dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.