comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis serbu rumah urut jalankan aktiviti persundalan di Kuala Lumpur, Selangor


KUALA LUMPUR: Kegiatan pelacuran terbongkar selepas premis urut di sekitar Lembah Klang, digempur Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman hasil maklumat dan risikan Jumaat lalu.

Operasi mega bermula 3 petang itu dijalankan di bandar raya ini, sekitar daerah Brickfields, Cheras dan Dang Wangi, selain daerah Kajang, Gombak dan Ampang di Selangor.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seramai 39 wanita warga asing berusia lingkungan 19 hingga 50-an yang dipercayai bekerja sebagai pekerja seks dan tukang urut ditahan dalam 10 serbuan berasingan.

Menurutnya, wanita yang ditahan itu membabitkan 22 warga Thailand, Vietnam (5), Indonesia (5), Laos (6) dan Kemboja (1).

“Turut ditahan sembilan lelaki termasuk seorang warga asing yang juga penjaga kaunter premis, selain seorang pelanggan.

“Kesemua premis urut ini dipercayai melakukan kesalahan menggajikan wanita warga asing bekerja tanpa sebarang permit yang sah serta menjalankan aktiviti yang tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan seks dan urutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis urut ini menjalankan operasi setiap hari dari 10 pagi hingga 1 pagi dengan mendapatkan khidmat secara walk in (masuk terus), selain aplikasi WhatsApp.

“Kebanyakan premis urut ini menyasarkan warga asing dan pelanggan tetap sahaja.

“Harga bagi perkhidmatan seks yang ditawarkan bermula daripada RM150 sehingga RM320 bagi satu sesi, manakala bagi urutan badan RM60 sehingga RM120,” katanya.

Katanya, bayaran tambahan turut dikenakan sebanyak RM50 ke RM80 untuk khidmat lain.

“Kebanyakan wanita asing ini menyalahgunakan pas lawatan sosial dan terdapat juga yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini