JITRA: Polis bertindak menyerbu sebuah pondok usang dipercayai menjadi tempat penyeludupan migran di kebun getah berhampiran jalan belakang Universiti Utara Malaysia (UUM), Bukit Tangga, semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lokasi itu ditemui pada jam 10.50 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam melakukan pencegahan penyeludupan (Ops Pintas).
Beliau berkata, sebaik sampai di lokasi, pihak polis melakukan pemantauan selama kira-kira 10 minit dan ternampak enam warga asing dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga lelaki duduk di bawah pondok.
“Empat lelaki warga Thailand dipercayai penjaga tempat itu turut berada berdekatan kawasan berkenaan.
“Berikutan itu, pihak polis melakukan serbuan di kawasan itu. Kesemua warga asing yang diperiksa didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai dari Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Redzuan berkata, siasatan mendapati, keempat-empat lelaki Thailand yang menjaga dan mengawal kawasan tempat kejadian disyaki bertindak sebagai tekong darat.
“Soal siasat mendapati keempat-empat tekong itu ditawarkan upah dari seorang lelaki Myanmar lain dengan bayaran RM65 bagi setiap warga asing yang dibawa dari Kampung Sadao, Thailand ke sempadan Bukit Kayu Hitam.
“Warga asing ditahan berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun,” katanya.
Mohd Redzuan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali atau tidak lebih dari enam sebatan.
“Polis sentiasa peka dan aktif khususnya dalam usaha membanteras jenayah membabitkan aktiviti pemerdagangan manusia terutama di sempadan Malaysia – Thailand.
“Masyarakat diminta turut bersama memberi maklumat supaya aktiviti ini dapat dibanteras dengan menyalurkannya melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat serta boleh menggunakan applikasi VSP yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.