KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelatih junior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mengalami keretakan tulang rusuk dipercayai dipijak penuntut senior.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keterangan itu diambil bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
“Setakat ini, seramai 13 orang sudah diambil keterangan.
“Kita (polis) juga menunggu laporan perubatan yang masih belum diperolehi,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Pada Isnin lalu, pelatih tahun tiga UPNM yang didakwa memijak juniornya dirakam percakapan oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, susulan laporan dibuat bapa mangsa yang juga pelatih tahun satu.
Suspek lelaki itu dipanggil untuk dirakam percakapan untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan pelatih tahun satu UPNM mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelatih universiti sama yang melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh senior.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.