SHAH ALAM: Polis Selangor membuka satu kertas siasatan terhadap kes tular membabitkan sebuah pertubuhan yang memakai pakaian mirip istiadat ketenteraan ketika menghadiri satu majlis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya mengesan video tular berkenaan di aplikasi media sosial kira-kira jam 2.30 petang, semalam.
“Rakaman itu memaparkan beberapa individu menghadiri satu majlis dengan berpakaian rasmi yang hampir menyamai pakaian istiadat pasukan beruniform.
“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan; Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, video yang tular itu juga boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai yang menganggap perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.
Katanya, ia boleh menjurus kepada tindakan melanggar undang-undang yang termaktub.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau balai polis berhampiran untuk salurkan maklumat dan membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, menerusi satu video tular berdurasi 1.42 minit, dilihat beberapa individu memasuki ruang seperti dewan dengan berpakaian seragam badan beruniform.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.