Tumpuan :
Nasional

Polis Selangor rampas cecair rokok elektronik bernilai hampir RM10 juta

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) menunjukkan rampasan cecair vape yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine serta peralatan pemprosesan pada sidang media di IPK Selangor, Shah Alam.- FOTO NSTP

SHAH ALAM: Polis merampas 133,132 mililiter (ml) cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai hampir RM10 juta menerusi beberapa serbuan dan tangkapan di sekitar Serdang pada 17 hingga 19 Februari lalu.

Turut ditahan adalah tujuh individu, iaitu lima lelaki warga asing dan masing-masing seorang lelaki serta wanita warga tempatan berusia 21 hingga 37 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ia adalah rampas terbesar untuk Polis Kontinjen Selangor melibatkan cecair rokok elektronik dicampur methamphetamine, setakat ini.

Beliau berkata, pada 17 Februari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor menahan seorang wanita di lobi sebuah kondominium di Seri Kembangan yang memegang dua kotak katrij cecair rokok elektronik bercampur dadah dengan anggaran lima mililiter.

Katanya, wanita itu kemudian memandu arah polis ke sebuah unit kondominium dan menemui 58 kotak katrij cecair rokok elektronik bercampur dadah dengan anggaran isipadu 127 mililiter.

“Daripada tangkapan tersebut, polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan tempat pemprosesan cecair rokok elektronik berkenaan di sekitar Seri Kembangan pada jam 10.15 malam.

“Menerusi serbuan itu, polis menahan lima lelaki warga asing dan merampas sejumlah 33,019 kotak katrij berisi cecair terbabit dengan anggaran isipadu 133,000 mililiter bernilai RM9,924,000 mengikut harga pasaran.

“Turut dirampas adalah 43 tong dan botol berisi cecair kimia serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus semua cecair rokok elektronik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, pada 19 Februari lalu, seorang lelaki yang berperanan sebagai pembancuh (mixer) dalam penghasilan cecair bercampur dadah itu ditahan di sekitar Puchong.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan kesemua suspek didapati bekerja sepenuh masa dengan sindiket terbabit.

“Rokok elektronik biasa boleh didapati di pasaran pada harga belasan ringgit manakala yang dijual oleh sindiket berharga RM270 hingga RM350. Mereka juga boleh ‘customise’ mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu juga dipercayai boleh memperolehi hasil sehingga RM2 juta sebulan dengan menjual cecair rokok elektronik bercampur methamphetamine itu,” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, hasil semakan rekod mendapati hanya suspek wanita mempunyai rekod lampau manakala saringan awal air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama lima hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini