comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis Selangor kongsi maklumat kes GISBH dengan MAIS, JAIS dari awal

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. – Foto fail

KLANG: Polis Kontinjen Selangor bekerjasama rapat dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam siasatan dan langkah penguatkuasaan berhubung kes berkait GISB Holdings (GISBH) dari peringkat awal lagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika menjelaskan perkara itu memaklumkan kerjasama berkenaan diteruskan hingga kini dalam usaha penyiasatan terbabit, termasuk berkongsi maklumat berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak boleh memberikan komen lanjut mengenai isu berkenaan kerana siasatan membabitkan pasukan petugas khas bersepadu di Bukit Aman.

“Apa yang saya boleh tegaskan ialah memang ada kerjasama serta perkongsian maklumat antara polis dengan MAIS dan JAIS untuk melihat aktiviti di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Selangor Police Integrity Half Marathon 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, di Stadium Sultan Suleiman, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media semalam bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan perasaan dukacita dengan kes jenayah disyaki membabitkan GISBH serta rangkaiannya.

Baginda dilapor menitahkan seluruh agensi agama Islam di Selangor bekerjasama dengan PDRM untuk memastikan semua pihak terbabit kesalahan jenayah disyaki berkait GISBH serta rangkaiannya, diheret ke mahkamah dan didakwa.

Selain itu, baginda turut menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit apa-apa kegiatan jenayah, termasuk jenayah syariah, ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Sultan Sharafuddin sekali gus menzahirkan perasaan kesal serta kecewa kerana kes disyaki berkait GISBH, termasuk membabitkan rumah amal kendalian syarikat itu, telah lama berlarutan dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menanganinya sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini