Tumpuan :
Nasional

Polis selamatkan pemancing separuh sedar atas bonet pacuan empat roda

Anggota Pasukan Boatman IPD Kluang bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang menyelamatkan seorang lelaki yang terkandas akibat banjir di Batu 24, Kahang, pagi tadi. FOTO: Ihsan Polis Kluang

KLUANG: Tindakan pantas pihak polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang ditemui terbaring di atas bonet sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas terkandas akibat banjir di Batu 24, Kahang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku antara jam 9.30 hingga 11 pagi.

Difahamkan mangsa dikenali sebagai Thilakkumar Subramaniam, 40, beralamat di Felda Serting Hilir 6, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan dalam perjalanan pulang dari memancing bersama rakan ketika kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, anggota Pasukan Boatman IPD Kluang bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang mendapati seorang lelaki terbaring atas bonet hadapan kenderaan pacuan empat rodanya dalam keadaan separuh sedar.

“Kenderaan pacuan empat rodanya juga didapati sudah ditenggelami air separas dada,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Kahang menggunakan ambulan milik Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang.

Ujarnya, hasil siasatan mangsa mengakui datang memancing bersama rakannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini