Oleh: Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: Tindakan pantas anggota polis menyelamatkan seorang lelaki yang hampir dihanyutkan arus banjir dalam kejadian di Jalan Lukut, Taman Aman, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, yang turut berada di lokasi kejadian, memimpin operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Menurut Yusof, insiden berlaku kira-kira jam 12 tengah malam apabila mangsa, Lim Soon Siw, 52 tahun, cuba memandu melalui jalan tersebut yang sudah dinaiki air.
Katanya, kereta mangsa dihanyutkan arus sebelum tersangkut pada tiang elektrik di kawasan itu.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Beliau kemudiannya dibawa ke tempat selamat,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau menasihati orang ramai untuk tidak mengambil risiko memandu di kawasan yang dilanda banjir demi keselamatan.
Sementara itu, mangsa banjir di Johor meningkat kepada 897 penduduk daripada 303 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, setakat 8 pagi, hari ini.
Ia berbanding 335 mangsa daripada 124 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS, 10 malam, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Azmi Rohani berkata, hujan lebat berterusan sejak 24 jam lalu menyebabkan mangsa banjir negeri ini dijangka terus bertambah dengan jangkaan banjir di kawasan rendah di beberapa daerah lain.
Namun, setakat ini katanya, Kota Tinggi paling terjejas dengan kesemua 13 PPS berada di daerah berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.