Tumpuan :
Nasional

Polis sedang lengkapkan kertas siasatan kenyataan KJ

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berkaitan Titah Adendum.

Kenyataan berunsur fitnah itu dikatakan dituju kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya kini selesai mengambil keterangan daripada Khairy semalam dan pihaknya menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sedang melengkapkan siasatan.

“Kertas siasatan akan disiapkan dalam masa tujuh hari sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman, hari ini.

Semalam, Razarudin mengesahkan Khairy diambil keterangan oleh USJT, pada jam 3 petang di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara di sini.

Polis menerima dua laporan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

Jumaat lalu, Setiausaha Politik kepada Azalina Othman, Datuk Suraya Yaacob, membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul.

Selain Suraya, Nor Azrina Surip iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut membuat laporan.

Terdahulu, Khairy menerusi siaran podcast siar ‘Keluar Sekejap’ mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Khairy turut mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini