
JOHOR BAHRU: Polis sedang mengenal pasti dua lelaki yang dipercayai bergaduh di tengah jalan berhampiran Tambak Johor, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya mengesan satu video tular memaparkan insiden itu yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Fandyjunas.
Beliau berkata, siasatan terhadap kes berkenaan sudah dimulakan.”Kami sedang giat menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti individu yang terbabit, saksi kejadian, dan punca sebenar insiden berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 10 saat yang dipercayai dirakam oleh seorang pemandu lori, memaparkan pergaduhan antara dua lelaki di Tambak Johor.
Menerusi video berkenaan, kedua-dua individu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam, dipercayai Toyota Vellfire.
Seorang lelaki dilihat keluar dari kenderaan itu dalam keadaan marah sebelum seorang lagi penumpang MPV lain turun dari kenderaannya yang diberhentikan di kiri jalan.
Pertengkaran mulut antara mereka kemudian bertukar menjadi pergaduhan fizikal sebelum berjaya dileraikan oleh beberapa pengguna jalan raya.
Raub berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau pegawai penyiasat, Inspektor Ng Boon Jian, di talian 016-7500470.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.