KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon penyerahan memorandum membabitkan 1,000 pesawah di Putrajaya, ditunda ke tarikh lain berikutan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menghormati hasrat pesawah terbabit untuk mengunjungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) namun tarikh dipilih bertindih dengan tarikh lawatan Prabowo.
“PDRM menerima maklumat berkaitan kunjungan 1,000 pesawah ke Putrajaya pada 10 pagi, esok di hadapan PMO, namun tarikh dan waktu itu bertindih dengan lawatan rasmi Presiden Prabowo ke Malaysia khusus Putrajaya.
“PDRM menasihati mereka memilih tarikh berlainan bagi penyelarasan tugasan dan keselamatan yang lebih sempurna.
“Pihak polis memberikan komitmen untuk membantu memudahcara perhimpunan pesawah di tarikh dan waktu yang lain selaras dengan peruntukan undang undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, PDRM bersiap sedia dari sudut keselamatan bagi memastikan lawatan rasmi berkenaan berjalan lancar.
Beliau berkata, sekiranya himpunan itu diteruskan, peserta perlu melalui prosedur keselamatan yang lebih ketat.
“Aturan keselamatan ini selari dengan tanggung jawab PDRM di bawahSeksyen 3 (3) Akta Polis 1967 bagi memelihara undang-undang ketenteraman awam,” katanya.
Nasional
Polis saran pesawah tunda serah memorandum ke tarikh lain
Loading...
Terkini