KUALA LUMPUR: Keputusan analisis toksikologi sampel darah empat individu yang meninggal dunia ketika menyaksikan konsert Pinkfish di Bandar Sunway dekat sini, menunjukkan kesemuanya positif dadah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata laporan analisis toksikologi diterima daripada Jabatan Kimia pada minggu lalu.
“Laporan telah diterima dari Jabatan Kimia, darah kesemua simati mengandungi kandungan dadah dan telah dirujuk ke pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan laporan penuh.
“Laporan toksikologi untuk seorang daripada dua mangsa yang sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital juga sudah diterima dan didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika ditanya jenis dadah yang dikesan dalam darah kesemua mangsa, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut kerana masih menunggu laporan penuh daripada pihak PPUM termasuk keputusan penuh autopsi.
Beliau berkata polis masih menunggu laporan toksikologi seorang lagi mangsa masih dirawat di PPUM selain masih menunggu kebenaran pihak hospital itu untuk merekod keterangan lelaki berusia 30 tahun itu.
“Proses rakam keterangan tidak dapat dibuat kerana keadaan mangsa yang belum stabil.
“Setakat ini, pihak polis sudah merakam keterangan seramai 52 orang saksi terdiri termasuk keluarga dan rakan-rakan si mati serta petugas di konsert terbabit,” katanya.
Wan Azlan berkata siasatan masih diteruskan dan sebarang perkembangan lanjut berkait kes ini akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menerima enam laporan berhubung kematian dua lelaki dan dua wanita selepas menghadiri konsert Pinkfish.
Laporan diterima daripada pihak PPUM dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hasil siasatan awal polis mendapati empat individu itu disyaki terbabit pengambilan pil dadah jenis ekstasi.
Tiga lagi individu pula menerima rawatan di PPUM dan HKL, dengan dua daripada mereka sudah dibenarkan pulang dan keterangan mereka juga sudah dirakam pihak polis, baru-baru ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.