KULAI: Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang wanita bersama bayi baharu dilahirkan di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit, di sini, semalam.
Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata punca kematian dua beranak itu juga masih dalam proses siasatan.
“Bedah siasat telah selesai dan menurut doktor, punca kematian masih ‘pending’ (dalam siasatan). Tiada unsur jenayah,” katanya.
Semalam, Seng Lee mengesahkan penemuan dua mayat berkenaan dengan maklumat mengenainya diterima Balai Polis Kelapa Sawit kira-kira jam 8.15 pagi daripada orang awam.
Katanya, tiada sebarang kecederaan luaran pada mayat wanita dan bayi itu manakala satu organ dipercayai uri ditemui berhampiran kawasan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Seng Lee berkata identiti mayat wanita yang ditemui itu masih belum dikenalpasti dengan ia bersama bayi terbabit kini ditempatkan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Beliau meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil memberi maklumat di balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-3332385.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.