KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden letupan bom dan tembakan yang berlaku di Sungai Golok, malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa di negara jiran itu.
“Susulan kejadian yang berlaku malam tadi, saya dimaklumkan tiada rakyat Malaysia atau dari Kelantan yang terbabit dan cedera.
“Namun saya akan dapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa di sana,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Pada masa sama, beliau turut menasihati rakyat Malaysia supaya tidak mengunjungi kawasan berkenaan buat sementara waktu.
Terdahulu, dua sukarelawan polis Thailand maut, manakala lapan lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok, malam tadi.
Serangan berlaku kira-kira 7.10 malam waktu tempatan (8.20 malam waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah itu berbuka puasa.
Jurucakap polis Sungai Golok berkata, insiden berlaku di sepanjang Jalan Sungai Golok-Sungai Padi, berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.