BUTTERWORTH: Polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki dipercayai tercekik gula-gula kenyal, di Sungai Dua, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, laporan berkenaan dibuat guru lelaki Kelas Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua pada 12.49 tengah malam semalam.
Katanya, dalam laporan itu guru berkenaan mendakwa murid terbabit, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, ditemukan terbaring di koridor menuju ke tandas.
“Siasatan mendapati saksi kejadian iaitu rakan sekelas mangsa yang juga murid lelaki berusia 10 tahun, mendakwa mangsa bersama-samanya dalam perjalanan ke tandas sebelum terjatuh di koridor sekolah dan tidak sedarkan diri.
“Saksi meminta bantuan guru kelas bagi membantu mangsa dan pihak sekolah cuba memberi bantuan pernafasan namun gagal sebelum menghubungi Hospital Seberang Jaya untuk mendapat bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Anuar berkata, ketika pegawai kesihatan tiba, mereka berjaya mengorek dan membuang gula-gula berkenaan daripada dalam mulut kanak-kanak itu namun mangsa masih tidak sedarkan diri.
“Mangsa kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Sehubungan itu, polis menyeru kepada orang ramai supaya tidak mensensasikan kes berkaitan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan pihak yang sedang menjalankan siasatan,” katanya lagi.
Menurut Anuar, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes berkenaan diseru supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau tampil mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.