Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan terima laporan 6 rakyat Malaysia ditahan di Thailand

FOTO: Ihsan Polis Thailand

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita dari negeri itu ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, awal pagi semalam, dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada rakan sejawat yang bertugas di negara terbabit.

“Siasatan akan dijalankan sepenuhnya oleh pihak berkuasa Thailand memandangkan kesemua suspek ditahan di negara berkenaan.

“Setakat ini, tiada tindakan diambil dari pihak kami untuk kes ini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kesemua mereka iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan yang berasal dari Kelantan berusia 25 hingga 32 tahun itu ditahan jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.

Menerusi tangkapan berkenaan, polis Thailand turut merampas 6,000 biji pil kuda.

Difahamkan, dua daripada mereka masuk ke Thailand menggunakan pangkalan haram manakala empat lagi masuk menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Kesemua mereka dikatakan ke hotel berkenaan untuk berhibur sempena Deepavali.

Sumber berkata, ketika serbuan dilakukan kesemua mereka baru masuk ke bilik selepas berhibur sebelum enam individu berkenaan ditahan.

“Dua lagi individu yang identiti tidak dikenali turut berada dalam bilik berkenaan berjaya melepaskan diri.

“Seorang wanita yang ditahan adalah artis tempatan Kelantan,” katanya sambil menjelaskan kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk direman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini