Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan terima 2 laporan video tular sumbat kucing dalam guni

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki memasukkan beberapa kucing ke dalam guni di sebuah pangsapuri di Batu 9, Cheras semalam.

KAJANG: Polis telah menerima dua laporan berkaitan kes penganiayaan beberapa ekor kucing yang didakwa disumbat ke dalam guni sebelum dibuang di kawasan pangsapuri di Batu 9, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, memaklumkan bahawa laporan tersebut diterima secara berasingan, iaitu pada semalam dan hari ini.

“Laporan mendakwa mengesan satu rakaman video yang tular mengenai sekumpulan lelaki menangkap beberapa kucing dan dimasukkan ke dalam guni sebelum dibawa menaiki kenderaan disyaki untuk dibuang ke lokasi tidak diketahui.

“Polis juga menerima satu lagi laporan daripada ahli jawatankuasa persatuan penduduk pangsapuri berkenaan yang dirakam dalam video berkenaan.

“Mereka menafikan menganiaya dan mendera haiwan peliharaan terbabit,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Naazron berkata, semakan lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan pihak terbabit turut menerima aduan sama, dengan pihak JPV mengambil tindakan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Beliau menasihati masyarakat tidak melanggar peruntukan undang-undang termasuk penganiayaan terhadap haiwan.

Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat yang menunjukkan beberapa lelaki memasukkan kucing ke dalam guni dan diikat sebelum dikatakan dimasukkan ke dalam kereta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini