comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan sampel sepadan dengan DNA ibu bapa Hafiz Fauzan

Bapa Hafiz Fauzan, Abdul Halid Sugiman. – FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Polis mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka manusia ditemui di celah pokok dalam kebun durian adalah Hafiz Fauzan Abdul Halid, 17, pelajar yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata spesimen darah diambil daripada ibu bapa mendapati kebarangkalian 99.9 peratus dengan rangka ditemui itu.

Beliau berkata, polis mengesahkan pihaknya menerima keputusan identiti berkaitan siasatan penemuan rangka bersama pakaian, dokumen diri, barangan peribadi di tepi Jalan Yong Peng-Muar, hari ini.

“Melalui profil DNA yang diperoleh bagi tujuan perbandingan, ia sepadan dengan sampel diambil daripada ibu bapa kandungnya.

“Justeru, identiti rangka manusia terbabit ialah Hafiz Fauzan Abdul Halid yang juga mangsa orang hilang selepas keluar rumah sejak 26 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Lokasi penemuan rangka milik Hafiz Fauzan di Jalan Yong Peng-Muar bulan lalu dikenalpasti milik Hafiz Fauzan. – FOTO: NSTP

Terdahulu, bapa Allahyarham Hafiz Fauzan, Abd Halid Sugiman, 44, juga mengesahkan sudah menerima laporan DNA petang hari ini.

Difahamkan, proses tuntutan jenazah akan dibuat esok pagi di Hospital Sultanah Nora Ismail dan urusan jenazah akan dibantu pihak Jabatan Agama Batu Pahat.

Solat jenazah pula akan diadakan di Surau Al-Muhajirin Bandar Putera Indah, Tongkang Pecah, pada jam 10:30 pagi.

Selepas selesai solat, jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan Islam Batu 7, Tonngkang Pechah untuk dikebumikan.

Hafiz Fauzan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selepas keluar menonton bola sepak.

Pelbagai usaha dijalankan ahli keluarga serta bantuan rakan dan pihak sekolahya namun menemui jalan buntu.

Selepas hampir sebulan kehilangannya, rangka manusia berserta sebuah motosikal ditemui orang awam di celah pokok dalam kebun durian.

Penemuan itu merungkai kehilangan anak ketiga daripada tujuh beradik selepas nombor pendaftaran sama dengan motosikal digunakan Hafiz Fauzan seperti dinyatakan ahli keluarganya di media sosial sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini