comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan Sabari dibunuh, mayat dibuang ke sungai

Anggota penyelamat melakukan operasi mencari Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu. Foto: NSTP

JITRA: Kehilangan Sabari Baharom, 62, pesara pegawai kewangan Felcra di Baling sejak 4 September lalu akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan mangsa dibunuh.

Persoalan itu terjawab selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit membunuh mangsa.

Dalam kejadian itu, Sabari dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, susulan perkembangan kes orang hilang, Polis Kedah berjaya mengesan dan menahan dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Anak ketiga mangsa, Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25 hadir ke lokasi pencarian Sabari Baharom, 62 di Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu. Foto NSTP


“Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih gagal ditemui dan usaha mencari masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang yang membabitka mangsa dan dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Beliau berkata,, polis juga memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Namun, orang ramai diminta untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan mangsa menjadi misteri oleh ahli keluarganya apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik namun mangsa dilaporkan tiada di tempat kejadian.

Berikutan itu, ahli keluarga mangsa mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Pelbagai usaha mencari telah dilakukan oleh ahli keluarga namun sehingga kini Sabari masih gagal dikesan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini