Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis sahkan rompakan berkumpulan berlaku di sebuah pasar raya di Nilai

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiga suspek lelaki telah merompak sebuah kedai yang terletak di dalam sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan jam 8.36 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim dalam satu kenyataan media, salah seorang suspek disyaki membawa senjata.

“Suspek disyaki seramai tiga orang lelaki dengan menaiki sebuah kenderaan, yang mana dua suspek masuk ke dalam premis, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta,” katanya.

Pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 8.45 malam menerusi panggilan melalui MERS 999 dari pemanggil wanita.

Siasatan juga mendapati tiada kecederaan dan jumlah kerugian masih dalam penilaian.

Terdahulu, dua rakaman video kejadian itu tular di media sosial, dengan salah satu daripadanya jelas menunjukkan dua lelaki bertopeng dan memakai sarung tangan mengambil barangan kemas dari kotak pameran.

Rakaman pendek itu turut menunjukkan salah seorang suspek membawa senjata, dengan seorang lagi mengisi barangan kemas berkenaan ke dalam beg.

Kedua-dua suspek kemudian dilihat melarikan diri dari tempat kejadian bersama hasil rompakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai
ditalian 06-7904222.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini