KUCHING: Identiti rangka manusia yang ditemui di kawasan semak di Batu 7 Jalan Miri-Bintulu pada 12 Disember lalu, disahkan sebagai Musah Matali.
Lelaki warga emas berusia 74 tahun itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Batu 8, Lambir di Jalan Miri-Bintulu pada 29 November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, sebaik ditemui pada 12 Disember tahun lalu, polis menghantar rangka itu ke Bilik Mayat Hospital Miri untuk siasatan lanjut.
“Sampel tulang ditemui dan sampel darah daripada waris diambil untuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi pengesahan identiti,” katanya yang dipetik BH.
Alexson berkata, sampel DNA itu kemudian dihantar ke Jabatan Kimia di Kuching untuk dianalisis dan hasilnya mengesahkan itu adalah Musah.
“Ujian DNA menunjukkan 99.9 peratus persamaan dengan sampel darah anak lelakinya.
“Waris si mati dimaklumkan mengenai keputusan ujian DNA itu dan rangka juga sudah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk memastikan sama ada kematian mangsa mempunyai unsur jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.