Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan penemuan mayat lelaki dalam keadaan leher, kaki terjerut

Lokasi penemuan mayat lelaki.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penemuan mayat lelaki dalam keadaan terbaring dengan leher dan kaki terjerut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 45 tahun adalah kakitangan jabatan berkenaan.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan seorang lelaki yang ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di dalam Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Putrajaya.

“Laporan itu diterima melalui panggilan MERS 999 daripada orang awam pada 5 Mac 2025, jam 10.56 pagi.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa terbaring di atas lantai pejabat dengan leher dan kaki terjerut menggunakan ‘cable tie’,” katanya.

Tambahnya, tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi.

Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini