KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan mayat reput yang ditemui dalam sungai di Banting, 28 Disember lalu adalah remaja perempuan berusia 15 tahun Yap Xin Yuan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu kepada Buletin TV3.
Ia berdasarkan keputusan analisa Asid Deoksiribonukleik (DNA) oleh Jabatan Kimia yang diperoleh sebentar tadi.
“DNA positif. Mayat akan dituntut petang ini di Hospital Banting oleh pihak keluarga”, katanya kepada Buletin TV3.
Sabtu lalu mayat mangsa yang sudah reput ditemui di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Selangor.
Mangsa dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.
Kali terakhir dia dilihat di gelanggang bola keranjang di Batu 11, dengan berpakaian baju tarian singa berwarna merah.
Susulan itu tiga lelaki termasuk teman lelaki remaja perempuan itu ditahan bagi membantu siasatan.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang juga telah mengklasifikasikan siasatan kes daripada orang hilang kepada siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.