comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan kematian remaja perempuan akibat sedut asap kebakaran

Mayat remaja perempuan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Saujana Impian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – FOTO: Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Punca kematian remaja perempuan yang rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Saujana Impian, Kajang dekat sini semalam disebabkan lemas tersedut asap kebakaran.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, punca kematian remaja berusia 17 tahun itu disahkan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Kajang pada jam 9 pagi tadi.

Terdahulu, beliau berkata pihak polis menerima laporan kebakaran itu pada jam 4.20 petang, semalam.

Katanya, hasil siasatan pihak Forensik Bomba dibantu Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui satu mayat dalam keadaan terbaring dan melecur di dalam bilik tingkat atas rumah.

“Mangsa dipercayai seorang perempuan berumur 17 tahun yang semasa kejadian berseorangan.

“Punca kejadian disyaki litar pintas di tingkat bawah rumah sebelum api marak membakar sehingga ke tingkat atas rumah. Kebakaran menyebabkan 60 peratus rumah terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas akibat menyedut asap kebakaran,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Saya dan semua warga kerja IPD Kajang mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Saujana Impian di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 17 tahun dipercayai bersendirian di rumah sebelum kebakaran berlaku.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata pusat gerakan operasi bomba menerima panggilan kejadian pada jam 4.20 petang.

Katanya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Bangi serta Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini